27 APR: Malaysia dan Korea hari ini mencipta sejarah apabila menandatangani memorandum persefahaman dalam bidang pertahanan sekali gus mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu direalisasikan menerusi satu mesyuarat dua hala yang diadakan secara hibrid dengan Menteri Pertahanan Korea, Suh Wook.
“Mesyuarat ini amat bermakna dan membawa manfaat penting kepada kedua-dua negara khususnya dalam konteks diplomasi pertahanan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Republik Korea berhubung kerjasama dalam bidang pertahanan.
“Ia amat menggembirakan kerana usaha ke arah MoU ini sudah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan akhirnya ia dapat ditandatangani hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, MoU itu bukan sahaja akan menjadi instrumen perundangan yang akan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara, malah akan menjadi dokumen rujukan utama dalam interaksi, program dan aktiviti bersama Angkatan Tentera Malaysia dengan Angkatan Tentera Korea.
“Ia juga perkembangan yang cukup signifikan memandangkan sebelum ini hubungan pertahanan antara Malaysia dan Korea tiada persefahaman secara rasmi, sekali gus menjadi kekangan untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan,” katanya.
Hishammuddin berkata MoU berkenaan akan menjadi penanda untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala dan bagi angkatan tentera kedua-dua negara bekerjasama secara lebih erat.
“Ini selaras dengan komitmen berterusan Malaysia dan Korea dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala yang sedia akrab ke tahap ‘perkongsian strategik’.
“Bagi memastikan perancangan di bawah MoU ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan lancar, kami bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja antara Kementerian Pertahanan kedua-dua negara yang akan menerajui pelaksanaan MoU itu,” katanya.
Tambahnya, inisiatif seterusnya ialah kedua-dua negara juga sedang berusaha ke arah MoU berkaitan industri pertahanan yang mana akan berkait rapat dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dirangka oleh Kementerian Pertahanan.
Pada mesyuarat hari ini juga, katanya, beliau dan Suh Wook turut mengambil kesempatan berbincang mengenai kerjasama pelbagai hala, khususnya berkenaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).
“Selaku Pengerusi Bersama ADMM-Plus Expert Working Group on Cyber Security, kami turut menyentuh ancaman keselamatan dalam domain keselamatan siber.
“Di akhir mesyuarat, saya turut suarakan keyakinan bahawa dengan sokongan Korea, inisiatif Kementerian Pertahanan mengenai Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ASEAN Cyber Defence Network – ACDN) berupaya dilaksanakan secara lebih efektif,” katanya.