27 APR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajib bermula 30 1 Mei ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun pemakaian pelitup muka digalakkan di luar bangunan, terutama di kawasan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam serta stadium.
“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan apabila berada di dalam bangunan, termasuk gedung beli belah dan pengangkutan awam, termasuk e-hailing.
“Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Selain itu, individu juga tidak lagi diwajibkan mengimbas aplikasi MySejahtera ketika memasuki premis.
“Jadi sekarang ini kita minta pemilik premis untuk semak bukan hanya status, tetapi sama ada individu itu positif atau tidak.
“Mereka yang tidak dibenarkan masuk ke dalam premis adalah mereka yang positif dan yang sedang dalam kuarantin kendiri, dan termasuk pengembara yang tidak lengkap vaksinasi di negara ini.
“Jadi kemasukkan ke dalam premis tidak lagi melihat kepada status vaksinasi mereka sebaliknya melihat sama ada mereka ini golongan berisiko tinggi atau tidak,” jelasnya.
Manakala berkaitan protokol uji dan lepas bagi kes positif COVID-19, menurut Khairy, individu boleh dilepaskan daripada pengasingan pada hari ke empat berbanding sebelum ini di hari ketujuh, sekiranya disahkan negatif melalui ujian RTK Antigen yang disahkan KKM.
“Bagaimanapun jika individu tersebut masih positif pada hari ke empat, maka ia perlu melengkapkan pengasingan selama tujuh hari,” ujarnya.
Buat pengembara antarabangsa pula, Khairy berkata ujian COVID-19 sebelum berlepas dari negara asal dan ketika tiba di Malaysia digugurkan.
“Namun ia tertakluk hanya kepada ketegori berikut di mana pengembara berusia 13 tahun ke atas yang sudah lengkap vaksinasi, pengembara yang mempunyai rekod jangkitan COVID-19 dalam tempoh 6 ke 60 hari dan pengembara berumur 12 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.
“Bagaimanapun, pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap ataupun belum mengambil suntikan vaksinasi tetap perlu menjalani ujian tersebut,” katanya lagi.
Manakala insuran COVID-19 untuk pengembara bukan warganegara tidak lagi menjadi pra syarat untuk masuk ke Malaysia, ujarnya.
Buat pengembara jemaah haji dan umrah, Khairy berkata, mereka masih dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berangkat ke tanah suci.