28 APR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan agensi itu berhak untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana pegawai badan awam setelah laporan atau aduan rasmi dibuat.
Tindakan untuk menyiasat pegawai badan awam itu adalah berdasarkan Akta SPRM 2009, di mana SPRM diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta berkenaan.
SPRM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, seksyen itu menyebut ‘pegawai badan awam’ ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam dan termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.
“Dan ia termasuk mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu.
“Berdasarkan prosedur, SPRM bertanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat sesuatu laporan atau aduan rasmi yang sudah dibuat kepada SPRM membabitkan perkara di bawah bidang kuasanya,” kata SPRM dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan SPRM itu adalah susulan kritikan terhadap agensi itu setelah ia mengesahkan membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa menerima sejumlah wang.
SPRM sebelum ini dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan manakala Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.
SPRM berkata, agensi penguat kuasa itu turut mempunyai rekod menyiasat hakim dan kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.
“Selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya,” kata SPRM lagi.
Mengulas kes Mohd Nazlan, SPRM berkata, siasatan itu masih berada di fasa awal dan ia membabitkan kepentingan awam di mana agensi itu menerima satu aduan pada 15 Mac 2022 disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April 2022.
“Harus dijelaskan bahawa apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu itu sudah melakukan kesalahan dan masyarakat perlu beri ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” jelas SPRM.
Mohd Nazlan pada Khamis lalu telah membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.
Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.