28 APR : Ketua Parti Rakyat Pakistan (PPP) Bilawal Bhutto-Zardari pada Rabu dilantik sebagai Menteri Luar baharu Pakistan.
Bilawal mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Arif Alvi bagi menyertai barisan Kabinet yang diterajui Perdana Menteri Shehbaz Sharif.
Sementara itu Hina Rabban Khar juga dari parti PPP dilantik sebagai timbalan menteri hal ehwal luar.
Bilawal, 33, anak lelaki bekas presiden Pakistan, Asif Ali Zadri dan perdana menteri Benazir Bhutto yang mati dibunuh, pertama kali dipilih menganggotai Dewan Rakyat pada 2018.
Beliau meneruskan legasi politik Zulfikar Ali Bhutto, pengasas PPP yang pernah berkhidmat sebagai presiden dan perdana menteri Pakistan sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 1977 serta dihukum bunuh dua tahun kemudian berhubung kes pembunuhan ahli politik.- BERNAMA