29 APR: Urusan memohon dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di beberapa negeri kini boleh terus (walk in) ke pejabat pengeluar pasport mulai 9 Mei ini.
Orang ramai juga tidak perlu mendapatkan tarikh janji temu melalui sistem temu janji dalam talian (STO).
Bermula tarikh tersebut, Jabatan Imigresen memansuhkan perkhidmatan berkenaan di semua pejabat pengeluar pasport di beberapa negeri di luar Lembah Klang.
Bagaimanapun, Pejabat Pasport Putrajaya hanya akan memproses permohonan yang dibuat dalam talian.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata bagi semua pejabat pengeluar pasport di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru dan Negeri Sembilan serta Melaka, pemansuhan STO bermula pada 16 Mei ini.
Beliau berkata, pemohon yang sudah menerima tarikh janji temu melalui STO mulai 16 Mei tidak perlu lagi mematuhi tarikh yang diberikan itu.
Katanya, jabatannya menyedari bahawa terdapat kesulitan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memohon dan memperbaharui PMA, berpunca daripada peningkatan yang mendadak bagi permintaan terhadap dokumen perjalanan itu selepas pembukaan sempadan negara mulai 1 April lalu.
“Secara purata, permohonan harian bagi seluruh negara mencecah sebanyak 8,000 PMA membabitkan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding sebelum pembukaan sempadan, bertepatan seperti yang dijangkakan oleh Jabatan ini.
“Mulai 1 sehingga 26 April lalu, sebanyak 151,173 PMA dikeluarkan di seluruh negara. Peningkatan permintaan untuk permohonan PMA ini menyebabkan berlaku kesesakan dalam Sistem Temujanji Online Jabatan Imigresen di beberapa pejabat pengeluar pasport di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Selain memansuhkan STO, Khairul Dzaimee berkata, semua pejabat pengeluar pasport di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka akan beroperasi pada Sabtu mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, bermula pada 14 Mei.
Beliau berkata, waktu pengoperasian kaunter Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru pula akan dipanjangkan sehingga jam 10 malam bermula pada 16 Mei ini.
“Jabatan ini juga menyediakan perkhidmatan permohonan PMA tanpa perlu melalui STO seperti di Putrajaya iaitu semua permohonan bawah kategori baharu, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar, kanak-kanak dan pemohon yang akan menunaikan haji boleh terus hadir ke kaunter.
“Bagaimanapun, bagi permohonan pembaharuan PMA, Pejabat Pasport Putrajaya hanya akan memproses permohonan yang dibuat dalam talian dan hanya pemohon yang sudah menerima notifikasi melalui e-mel sahaja akan diberi perkhidmatan,” katanya.