29 APR: Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mula sesak sejauh 17.4 kilometer (km) selepas Plaza Tol Gombak hingga KM37.2 Genting Sempah petang tadi.
Turut sesak dari KM48.9 Bukit Lentang hingga KM50.9 Lentang sejauh 2km.
Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi ciapan di Twitter, trafik juga dilaporkan sesak sepanjang 1.3km dari M53.5 hingga KM54.8 Lentang.
“Kesesakan ini berikutan daripada pertambahan kenderaan menghala ke Pantai Timur.
“Trafik di LPT1 lancar di sepanjang lebuh raya di kedua-dua hala,” menurut ciapan tersebut.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan sebanyak lima juta kenderaan akan berada di seluruh lebuh raya negara bermula Jumaat untuk pulang ke kampung bagi sambutan perayaan Aidilfitri 3 Mei depan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, trend peningkatan itu dikesan terutama di Lembah Klang disebabkan pergerakan orang ramai untuk persiapan raya.