29 APR : Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjalin kerjasama strategik dengan Bank Islam Malaysia Bhd bagi melancarkan Program Pembiayaan Pengeksport PKS dengan peruntukan bernilai RM100 juta.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata objektif lain inisiatif itu adalah bagi membantu ahli MATRADE memenuhi keperluan kewangan selain memberi bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjangkau pasaran antarabangsa serta aktiviti eksport mereka.
“Program Pembiayaan Pengeksport PKS adalah pakej produk pelbagai pembiayaan merangkumi Pembiayaan Bertempoh-i, Talian Tunai-i, Kemudahan Perdagangan dan Kontrak Pertukaran Asing-i yang ditawarkan secara eksklusif kepada ahli MATRADE untuk keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal.
“Kerjasama itu turut merangkumi usaha melibatkan ahli MATRADE yang layak di platform SMEXpert Bank Islam untuk PKS memasarkan produk dan perkhidmatan di peringkat tempatan serta luar negara, mengembangkan kehadiran digital mereka pada kos lebih murah serta meninjau peluang perniagaan,” kata kenyataan itu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Abu Bakar Yusof, berkata kerjasama strategik itu tepat pada masanya bagi membantu PKS menjalankan aktiviti eksport serta memasuki pasaran baharu.
“Inisiatif bantuan kewangan dan sokongan digitalisasi untuk PKS adalah sejajar dengan komitmen berterusan MATRADE untuk memberi kemudahan kepada pengeksport Malaysia bagi memastikan mereka kekal berdaya tahan serta mampan dalam mengembangkan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata bank itu menyedari kepentingan segera untuk perniagaan bertindak meningkatkan model perniagaan masing-masing dan mengembangkan jangkauan untuk kekal relevan dalam era pendigitalan serta pemulihan ekonomi.
“Kami menyambut baik inisiatif yang dapat menyokong pelanggan mendapatkan akses dan peluang kewangan menerusi manfaat daripada skim kami, platform SMEXpert dan kepakaran MATRADE,” katanya.-BERNAMA