30 APR: PAS tidak bimbang dengan pakatan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li dengan Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud berkata, berdasarkan rekod lalu rakyat masih memberikan kepercayaan kepada parti itu untuk menerajui pentadbiran negeri Kelantan.
“Pandangan saya, sesiapa sahaja boleh mencipta gabungan politik kerana negara ini mengamalkan demokrasi.
“Selebihnya, kita serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan berkait dengan perkara tersebut,” katanya selepas diminta mengulas gabungan baharu iaitu Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang diketuai oleh Ku Li untuk merampas negeri ini daripada PAS.
Menurutnya, kebiasaan sesebuah parti yang ingin membentuk sebarang kerjasama politik perlu diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi.
Beliau berkata, individu tidak boleh membuat keputusan berkait dengan parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, jarang berlaku individu buat kerjasama tanpa keputusan rasmi dari parti
“Siapa nak buat kerjasama itu terpulang, tetapi keputusan tersebut mesti dibuat oleh parti. PAS pun kita masih ada kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
“Kita selalu sebut, orang Islam wajib bersatu. Pendirian kita jelas, bukan bersatu sama Islam bahkan bukan Islam yang tidak extreme pun kita ajak bersatu dalam satu Keluarga Malaysia,” katanya.