30 APR: Kakitangan kerajaan mengucapkan tanda kesyukuran dan terima kasih atas Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 oleh Kerajaan kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
Seorang penjawat awam, Huzaimi Maliki berkata bantuan tersebut dapat digunakan untuk perbelanjaan terutamanya dalam persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
“Macam saya dah berkeluarga, perbelanjaan itu lebih. Jadi, RM500 ini amat membantu,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bayaran RM500 itu juga diberikan kepada kakitangan di bawah skim kontrak perkhidmatan dan Kontrak atas Perkhidmatan serta pegawai atas lantikan di bawah program MySTEP.
Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.
Selain itu, pembayaran bagi bantuan khas berkenaan telah dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April lalu.
Bantuan khas itu membabitkan peruntukan RM923 juta bagi manfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.
Bagi penjawat awam, Mohd Zaim berkata, bantuan itu akan digunakan untuk membantu meringankan beban keluarga terutamanya untuk persiapan hari raya anak-anak.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberi bantuan kewangan ini untuk kami semua kakitangan kerajaan menghadapi hari raya yang lebih meriah,” katanya.
Bagi Anis Haris, sebagai penjawat awam amat berbesar hati dengan bantuan tersebut dan akan terus memberikan khidmat yang terbaik.
Nur Huda pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap kakitangan awam dengan memberikan bantuan khas berkenaan.