30 APR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, 94, satu perkhabaran yang menyedihkan.
Beliau berkata, Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati.
“Mendapat perkhabaran sedih di atas pemergian bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, 94 yang menghembuskan nafas terakhir 8.43 malam tadi, 29 April 2022 bersamaan 28 Ramadan 1443H.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur akibat sakit tua.
“Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini,” katanya di Facebooknya hari ini.
Ismail Sabri berkata, selain menjadi Menteri Pertahanan (1987-1990), antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Allahyarham dalam kerajaan termasuk Menteri Hal-Ehwal Luar Negara, Menteri Perdagangan dan Industri serta Menteri Penerangan.
Tambahnya, dalam arena politik, Allahyarham yang dikenali sebagai Ku Deen pernah menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Sesungguhnya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.