30 APR: Hampir 19 juta jemaah memenuhi Masjidilharam, Ramadan ini setelah fasa ketiga projek pembesaran masjid suci itu dibuka.
Memetik laporan Saudi Gazette, Masjidilharam menerima lebih 500,000 jemaah sejam dengan separuh daripadanya di kawasan dalam masjid dan bakinya di dataran.
Pengarah Jabatan Pengembangan Utara Eng., Walid Al-Masoudi, berkata projek pembesaran itu membolehkan masjid itu menerima kira-kira 18,911,278 jemaah untuk lima solat fardu, selain solat Tarawih dan Tahajud.
Katanya, jemaah dibahagikan sepanjang Ramadan di semua tingkat bangunan pembesaran, di tingkat bawah, tingkat satu, mezanin pertama, mezanin kedua dengan balkoni dan di sekeliling dataran utara dan barat.
Sementara itu jemaah menunaikan solat Jumaat terakhir pada Ramadan di Masjidilharam dan Masjid Nabawi di Madinah, semalam.
Perhimpunan berjalan lancar dan teratur kesan pengaturan rapi dan sempurna dibuat pihak berkuasa yang membolehkan jemaah berada dalam suasana sangat rohani dan tenang.
Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci menggiatkan operasi pembersihan, pembasmian kuman dan pensterilan menggunakan pembasmi kuman dengan 10 operasi mencuci di Masjidilharam setiap hari sebagai langkah berjaga-jaga.
Pihak presiden menyediakan lebih 45 pasukan lapangan yang bekerja sepanjang masa untuk mensterilkan seluruh sudut Masjidil Haram dan kawasan luarnya. Ia juga menyediakan lebih 300 peranti moden berkualiti tinggi untuk mensterilkan tangan dan kira-kira 70 peranti yang mengukur suhu melalui penderiaan jauh. – AGENSI