1 MEI :Orang ramai diingatkan supaya tidak leka dengan bahaya ancaman COVID-19 biarpun kerajaan memberi beberapa kelonggaran terhadap langkah kawalan dan pencegahan virus tersebut, mulai hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tidak leka dan alpa, pihaknya akan terus-menerus memberi peringatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) menerusi platform media arus perdana seperti televisyen dan radio.
“Platform media arus perdana seperti televisyen komersial termasuk Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama, serta radio perlu sentiasa memainkan peranan memperingati bahawa bahaya itu tetap ada terutama bagi golongan berisiko, warga emas serta berpenyakit kronik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi bekas Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Hussein Ahmad di Kampung Lemal, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga seorang daripada Menteri Kuartet COVID-19 berkata kementeriannya akan terus memberi sokongan kepada fasa peralihan ke endemik yang dilaksanakan sejak 1 April lepas yang bertujuan memulihkan ekonomi negara.
“Fasa peralihan ke endemik ini menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor bagi membolehkan rakyat kembali ke kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun berperang dengan COVID-19.
“Langkah ini penting, untuk merancakkan kembali ekonomi negara khususnya sektor yang terjejas selepas pintu sempadan negara ditutup dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19 dalam negara,” katanya.- BERNAMA