1 MEI : Polis Gombak meminta pemilik dashcam video yang tular di media sosial berkaitan sebuah kenderaan jenis MPV yang dipandu secara merbahaya di Lebuhraya Karak hari ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Daerah Polis untuk memberi keterangan.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed menerusi satu kenyataan berkata, hasil semakan pihaknya terhadap MPV itu mendapati terdapat 56 saman lampau yang belum dijelaskan.
“Polis mengesan sebuah video berdurasi 2.25 minit memaparkan sebuah MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih, plat nombor BPV 686 yang memandu secata berbahaya.
“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan, justeru pihak polis meminta pemilik rakaman dashcam tampil ke IPD Gombak,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau bilik gerakan IPD Gombak ni talian 03-61262222.
“Saya nasihatkan semua pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan agar tidak terjebak dengan kesesakan lalu lintas dan sentiasa patuh pada peraturan.
“Sekiranya didapati ingkar tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.