Polis buru 2 lagi suspek kes bunuh di Bukit Bintang
4 MEI : Dua lagi suspek yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian bunuh seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, petang semalam kini sedang diburu polis.
Dua suspek yang diburu itu menjadikan keseluruhan tiga suspek yang dikenal pasti ada kaitan dengan kematian mangsa ditembak pada dahi dalam sebuah bilik hotel tersebut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, mengesahkan seorang suspek sudah ditangkap di tempat kejadian semalam.
Katanya, polis sudah memperolehi perintah reman selama enam hari ke atas suspek berusia kira-kira 40-an berkenaan, bermula hari ini hingga 9 Mei.
“Hasil siasatan awal dan soal siasat ke atas suspek, kita berjaya mengenal pasti dua lagi suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 40-an dan 50-an.
“Usaha mengesan dan menahan mereka kini giat dijalankan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat akan dijalankan petang pihak polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti motif pembunuhan, ujar Noor Dellhan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan pada dahi dalam kejadian dalam bilik hotel Jalan Bukit Bintang di sini, petang semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang, tidak lama selepas mangsa bersama seorang rakan mendaftar masuk di hotel berkenaan.