6 MEI: Program Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Shah Alam pada 12 Mei ini.
Dalam satu kenyataan media bersama, kedua-kedua pihak telah mengadakan perbincangan dan mencapai kata sepakat berkaitan tempat penganjuran program berkenaan.
“Dengan ini dimaklumkan bahawa kedua-kedua pihak bersetuju untuk memilih MATIC sebagai lokasi penganjuran debat tersebut pada 12 Mei 2022, pada jam 9 malam.
“Debat perdana ini akan disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran TV dan media sosial yang akan diumum kemudian.
“Kedua-dua pihak berharap Debat Perdana ini akan berlangsung dengan sempurna minggu hadapan,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kedua-dua pemimpin itu saling mencabar antara satu sama lain untuk merungkai mengenai isu Sapura Energy Berhad (SEB) yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sebelum ini, Najib merupakan individu terawal yang mencadangkan kerajaan supaya menyelamatkan SEB yang berhadapan dengan krisis kewangan teruk.