8 MEI: PAS tegas dengan pendirian bahawa penyatuan ummah adalah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu melihat keperluan untuk penyatuan dalam kerangka yang ditandatangani menerusi piagam Muafakat Nasional (MN).
“Elok kalau dibaca dan dihayati semula apa yang telah disepakati, waktu itu PAS dan UMNO merasai adanya ancaman kepada masa depan Melayu Islam dan kita berhimpun menentangnya,” dipetik daripada Berita Harian hari ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu menambah, dalam konteks politik kepartian, setiap pihak boleh membuat apa yang difikir sesuai untuk partinya dan keadaan ini tentu berbeza antara satu kawasan, negeri berbanding lain.
“Selangor, Perak kelihatan berbeza dengan sikap Presiden UMNO , bagaimana pula Pulau Pinang. Apakah sekadar menang sorak, kampung tergadai,” katanya.
Tambah beliau, PAS yakin setiap parti mempunyai hala tuju dan strategi masing-masing menjelang PRU akan datang.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memberi bayangan mustahil untuk gagasan MN diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap ‘talam dua muka’.