8 MEI: semua kakitangan awam negara di Indonesia diarahkan untuk bekerja dari rumah (WFH) di agensi masing-masing selepas perayaan Aidilfitri ini.
Laman sesawang Tribune News melaporkan, WFH boleh dipohon selama seminggu selepas kemuncak aliran balik hari raya, bermula hari ini.
“Saya bersetuju dengan pendapat Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, supaya agensi kerajaan melaksanakan dasar WFH.
“Semua agensi kerajaan diharapkan dapat mengatur pembahagian jadual dengan teliti supaya perkhidmatan kepada masyarakat terus berjalan seperti biasa,” kata Menteri Pembaharuan Pentadbiran dan Pembaharuan Birokrasi Indonesia, Tjahjo Kumolo.
Tjahjo menegaskan, WFH tidak akan mengganggu perkhidmatan, urusan pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan yang lain.
Ini kerana kerajaan sudah melaksanakan Sistem Kerajaan Berasaskan Elektronik (SPBE) yang membolehkan penjawat awam negeri bekerja tanpa sempadan ruang dan anjal menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) masa kini.
Pelaksanaan WFH juga dianggap sebagai idea yang baik selepas kakitangan awam dan keluarga pulang dari kampung halaman.
Memandangkan wabak COVID-19 masih belum reda, sistem kerja dari rumah juga boleh digunakan sebagai peluang tidak langsung menjalani kuarantin diri untuk beberapa hari akan datang.
Kira-kira 85 juta orang melakukan perjalanan, termasuk 14 juta dari kawasan metropolitan Jakarta, dengan 23 juta kereta persendirian dan 17 juta motosikal meninggalkan ibu kota.
Indonesia adalah negara kedua paling terjejas di Asia tenggara selepas Vietnam, dengan 6,048,204 kes jangkitan COVID-19 termasuk 156,371 kematian. – AGENSI