9 MEI: Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa hari ini mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Rajapaksa, Rohan Wewiwita, berkata pemimpin berusia 76 tahun itu menghantar surat peletakan jawatan kepada adiknya, Presiden Gotabaya Rajapaksa, sekali gus membuka jalan bagi ‘kerajaan perpaduan baharu’.
“Saya meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta supaya anda boleh melantik kerajaan pelbagai parti untuk membimbing negara keluar daripada krisis ekonomi semasa,” kata perdana menteri dalam surat itu, yang dilihat oleh AFP.
Sebelum ini, parti pembangkang terbesar di negara itu sudah menegaskan mereka tidak akan menyertai mana-mana kerajaan yang diterajui oleh ahli keluarga Rajapaksa.
Peletakan jawatan perdana menteri secara automatik menandakan kabinet sudah dibubarkan.
Dalam pada itu berpuluh-puluh orang dikejarkan ke hospital apabila penyokong Rajapaksa yang bersenjatakan kayu dan belantan menyerang penunjuk perasaan.
Seorang Ahli Parlimen parti pemerintah, Amarakeerthi Athukorala, dan seorang awam terbunuh dalam rusuhan di Colombo manakala sekurang-kurangnya 139 yang lain cedera termasuk seorang parah terkena tembakan.
Athukorala dikatakan melepaskan tembakan ke arah dua mangsa berkenaan kerana menghalang keretanya di Nittambuwa, menyebabkan kedua-duanya cedera parah dan seorang daripadanya kemudian menemui ajal.
Menurut pihak polis, Athukorala kemudian cuba menyelamatkan diri di bangunan berdekatan dan ditemui mati, dipercayai membunuh diri menggunakan pistol miliknya.
Sri Lanka mengalami masalah bekalan elektrik sejak berbulan lalu selain menghadapi kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan berikutan krisis ekonomi terburuk negara itu sejak mencapai kemerdekaan, mencetuskan demonstrasi antikerajaan selama berminggu-minggu.
Semalam, pertempuran terbesar sejak permulaan krisis meletus di Colombo apabila penyokong keluarga Rajapaksa mengamuk, memaksa polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air.
Kerajaan juga mengisytiharkan darurat dan melaksanakan perintah berkurung serta-merta di Colombo, yang kemudian diperluaskan merangkumi seluruh negara kepulauan Asia Selatan yang mempunyai 22 juta penduduk itu.
Pada bulan lalu, Sri Lanka mengumumkan negaranya gagal membayar hutang asing AS$51 bilion atau RM223.56 bilion. – AFP