9 MEI : Konsep Keluarga Malaysia adalah lambang komitmen kerajaan memupuk perpaduan umat kerana ia merupakan elemen terpenting dalam merangka masa depan lebih gemilang bagi sesebuah negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata meskipun memiliki pelbagai bangsa, agama dan suku kaum, Malaysia tetap berjaya mengekalkan kestabilan negara melalui perpaduan antara kaum yang ada.
Berucap sempena persidangan Majlis Komuniti Islam Sedunia, di sini, semalam, beliau berkata, Malaysia sebagai negara majmuk, telah melaksana dan menterjemahkan fiqh al-ta’ayush yang meletakkan tiga prinsip utama dalam membina hubungan persaudaraan yang baik dengan seluruh komponen masyarakat.
“Pertama, persaudaraan sesama Islam (ukhuwah Islamiah); kedua, persaudaraan sesama warganegara (ukhuwah wataniyyah); dan ketiga, persaudaraan sesama manusia (ukhuwah basyariyyah).
“Persaudaraan sesama Islam merupakan idea sosial yang teragung sebagaimana firman Allah SWT, ‘Innamal mukminun ikhawan’ yang bermaksud: ‘Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara’ (Surah al-Hujurat ayat 10),” katanya ketika berucap dalam bahasa Arab pada persidangan itu.
Idris berkata, ukhuwah basyariyyah pula dilandasi persaudaraan yang tumbuh dan berkembang atas nilai-nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengira latar belakang kaum, agama, tradisi, kepercayaan serta budaya.
Justeru, katanya, Malaysia dikenali sebagai negara harmoni kerana menjamin kepelbagaian sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan negara.
Beliau percaya dan yakin bahawa perpaduan dan kesatuan antara umat Islam sedunia adalah sangat penting dalam menentukan pola hidup bermasyarakat (harmoni) dan menjamin kestabilan negara.
Idris berkata, amat rugi sekiranya ummah tidak memberi penekanan kepada agenda perpaduan, kerana ia pasti akan mendatangkan perpecahan dan seterusnya melemahkan umat Islam itu sendiri.
Bertemakan ‘Perpaduan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran’, persidangan itu yang berlangsung semalam dan hari ini, menghimpunkan tokoh Islam sedunia dengan dirasmikan oleh Menteri Toleransi dan Kebersamaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan. –BERNAMA