9 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyaksikan pertukaran dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) antara kerajaan dengan empat penyedia perkhidmatan awan (CSP) hari ini.
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Urusan Malaysia (MAMPU) dalam satu kenyataan berkata, pertukaran dokumen itu membabitkan antardengan Telekom Malaysia Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd dan Google Cloud Malaysia Sdn Bhd.
CFA menurut MAMPU bertujuan memacu transformasi digital sektor awam seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk (Blueprint) Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Perkhidmatan itu dijangka berupaya mengoptimumkan sumber kerajaan dan mobiliti bekerja dalam persekitaran digital bagi membolehkan proses kerja serta urus niaga tanpa kertas yang lebih berkesan secara ‘End-to-End’.
“Bagi memastikan Perkhidmatan Pengkomputeran Awan dapat dimanfaatkan oleh seluruh agensi sektor awam, kerajaan mengambil langkah strategik dengan menaik taraf perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) kepada Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam yang dikenali sebagai MyGovCloud.
“Perkhidmatan MyGovCloud berfungsi secara hibrid dengan menggabungkan perkhidmatan Private Cloud di PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP) yang dilantik kerajaan,” kata MAMPU dalam kenyataan tersebut.
Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr Yusof Ismail, bertukar dokumen perjanjian dengan wakil dari empat anak syarikat CSP, iaitu Radmik Solutions Sdn Bhd bawah Amazon, Cloud Connect Sdn Bhd (TM), Enfrasys Solutions Sdn Bhd (Microsoft), dan Awantec System Sdn Bhd (Google) dalam majlis tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, CFA menjadi platform menerangkan inisiatif yang diambil kerajaan untuk manfaat kementerian serta agensi sektor awam, selain meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan berpaksikan rakyat dan berpacukan data.
Ia juga akan meningkatkan tahap keyakinan pemegang taruh terhadap keberkesanan penggunaan pengkomputeran awan dalam transformasi digital kerajaan.