10 MEI : Anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) daripada Demokrat bersetuju menyegerakan peruntukan AS$39.8 bilion (RM174.5 bilion) untuk bantuan tambahan kepada Ukraine, menurut dua sumber yang maklum dengan usul itu.
Dewan Perwakilan AS dijangka meluluskan usul itu, yang melebihi permohonan berjumlah AS$33 bilion (RM144.7 bilion) oleh Presiden AS, Joe Biden bulan lalu, seawal hari ini, manakala pemimpin Senat turut bersedia mempercepatkan urusan berhubung peruntukan itu.
Cadangan bagi penambahan dana berkaitan COVID-19 pula, di mana anggota Kongres Demokrat mahu ia digabungkan dengan dana kecemasan Ukraine, akan dipertimbangkan secara berasingan.
Pada 28 April lalu, Biden memohon dana berjumlah AS$33 bilion kepada Kongres bagi membantu Ukraine, termasuk lebih AS$20 bilion (RM87.7 bilion) bantuan ketenteraan, yang juga peningkatan ketara dana AS untuk perang dengan Russia.
Usul baharu itu merangkumi tambahan AS$3.4 bilion (RM14.9 bilion) untuk bantuan ketenteraan dan AS$3.4 bilion bagi bantuan kemanusiaan, kata sumber itu.
Anggota Kongres Demokrat dan Republikan menyatakan sokongan terhadap peningkatan bantuan kepada Ukraine dan akan meluluskan dana kecemasan sesegera mungkin, namun usul itu tertangguh berikutan percanggahan sama ada dana tambahan COVID-19 atau kawalan imigresen lebih ketat perlu dirangkumkan bersama.
Susulan itu, Biden dalam satu kenyataan menggesa semua penggubal undang-undang untuk meluluskan dana berkenaan dan memastikan beliau boleh menandatanganinya dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Menurut Pentagon, pihak tentera hanya memiliki dana mencukupi untuk menghantar senjata ke Kyiv bagi tempoh dua minggu akan datang.
Jurucakap Pentagon, John Kirby, berkata dana Pihak Berkuasa Pinjaman Presiden hanya berbaki AS$100 juta (RM438 juta), yang membolehkan Presiden AS meluluskan pemindahan senjata tanpa kelulusan Kongres ketika kecemasan.
“Menjelang minggu ketiga bulan ini, kami menjangkakan semua dana itu akan digunakan,” katanya.Sementara itu, Biden dalam kenyataannya turut menggesa anggota Kongres untuk menyegerakan proses berkaitan dana COVID-19.
“Tanpa dana segera, lebih ramai rakyat AS akan meninggal dunia. Kita akan ketinggalan untuk menempah ubat dan vaksin COVID-19 baharu, termasuk vaksin generasi baharu yang sedang dibangunkan, dan tidak dapat mengekalkan bekalan ujian COVID-19,” katanya.