10 MEI: Ringgit melantun semula daripada kerugian dua hari berturut-turut untuk ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan minat belian baharu, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.3800/3850 berbanding dolar AS daripada 4.3830/3870 pada penutup Isnin.
Penganalisis itu berkata, jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang tidak berubah pada 1.75 peratus pada mesyuarat dasar monetari ketiga esok memberi petanda baik untuk ringgit, terutama apabila pasaran memantau dengan teliti prestasi dolar AS.
“Prestasi ringgit yang lebih baik juga disokong oleh bacaan makroekonomi domestik Malaysia yang berkemungkinan lebih kukuh daripada jangkaan pada 13 Mei, terutama untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2022,” tambahnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1499/1540 daripada 3.1478/1509 pada Isnin, jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.3643/3684 daripada 3.3407/3440, dan lemah berbanding euro kepada 4.6156/6209 daripada 4.6135/6178 semalam.
Ringgit bagaimanapun, meningkat berbanding pound British kepada 5.3909/3971 daripada 5.3972/4022.
-BERNAMA