10 MEI : Filem kontroversi India mengenai penghijrahan orang Hindu dari Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam diharamkan tayangannya di Singapura kerana berpotensi menimbulkan perselisihan antara masyarakat yang berbeza.
Kerajaan Singapura dalam satu kenyataan berkata, filem itu tidak akan diberi klasifikasi kerana provokasi dan penggambaran berat sebelah terhadap umat Islam dan gambaran penganut Hindu dianiaya dalam konflik yang sedang berlaku di Kashmir.
The Kashmir Files menceritakan penghijrahan orang Hindu dari Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam pada 1990-an, dan plotnya mengikuti kisah fiksyen seorang pelajar universiti yang mendapati ibu bapanya dibunuh oleh golongan militan.
Filem itu mendapat pujian daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi dan pengikut nasionalis parti kanan Hindu, selain menjadi salah satu filem dengan kutipan box-office tinggi di India.
Bagaimanapun, pengkritik berkata ia mempunyai sentimen anti-Islam dan tidak berdasarkan fakta tepat.
Di bawah Garis Panduan Klasifikasi Filem Singapura, sebarang bahan yang memburukkan masyarakat, kaum atau agama di negara itu tidak akan diberi klasifikasi.
Singapura mempunyai 5.5 juta populasi penduduk, terdiri daripada Cina, Melayu dan India.
Ia mempunyai undang-undang ketat yang menghukum sesiapa yang mencuba untuk mengganggu kehamornian agama dalam masyarakat berbilang kaum.