11 MEI: PKR menegaskan konsep khemah besar yang hangat ketika ini tidak pernah menjadi agenda parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak pernah pada satu masa pun, sama ada ketika sesi temu rapat, mesyuarat biro politik mahupun Majlis Pimpinan Pusat PKR membincangkan perkara itu.
“Saya akan berpegang kepada kenyataan, fakta bahawa tajuk khemah besar tidak pernah dibincang dalam semua proses membuat keputusan parti.
“Apakah ia dibincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH)? Dalam perbincangan bulanan, PH bincang banyak idea, namun adakah keputusan itu mengikat? Ia tidak mengikat kita.
“Kita harus respons juga kepada siri kekalahan, ketika UMNO menguasai 40 peratus, mereka menang dua pertiga di Melaka. Kenapa 60 peratus menolak, tetapi UMNO dan Barisan Nasional yang memerintah, itu persoalannya.
“Jadi untuk menguruskan perkembangan ini, kita mencanai pelbagai idea. Yang paling penting apabila tajuk-tajuk tentang khemah besar ini dibincang dan dilontar di luar, persoalan yang harus kita tegaskan adakah kita (PKR) bincang? Jawapannya tidak,” katanya.
Saifuddin berkata demikian pada program debat calon Timbalan Presiden PKR antara beliau dan Rafizi Ramli yang dianjurkan secara langsung oleh sebuah agensi media tempatan hari ini.
Program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ itu berlangsung selama satu jam 30 minit dan dihoskan oleh Amin Idris.
Jawapan Saifuddin itu juga susulan soalan dilontarkan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis.
Mujibu bertanya sama ada agenda khemah besar akan menjadi pendirian Setiausaha Agung PKR itu jika memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR berikutan kenyataannya yang berubah-ubah menyokong dan menolak agenda itu.