12 MEI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyegerakan kajian semula kadar elaun membabitkan 3,896 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kajian terbabit sudah dimulakan beberapa minggu lalu dan laporannya akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam masa terdekat.
“Kita sudah mulakan kajian beberapa minggu lalu selepas pelajar terbabit memaklumkan permasalahan mereka.
“Tajaan dan kadar elaun yang diterima pelajar juga berbeza berdasarkan lokasi dan jurusan pengajian mereka.
“Setakat ini, kami masih menunggu maklumat lengkap pecahan perbelanjaan mereka, jumlah tajaan, yuran pengajian, kos sewa rumah dan perbelanjaan bulanan,” katanya kepada media pada Majlis Perjumpaaan Bersama Warga KPLB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Institut Kemajuan Desa (INFRA), di Bangi hari ini.
Berdasarkan statistik MARA, paling ramai mendapat tajaan membabitkan1,422 pelajar di United Kingdom diikuti Jordan (297), Jerman (291), India (234) dan Australia (234).
Dalam pada itu, Mahdzir dalam ucapannya berkata penganjuran sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah memberi peluang kepada warga KPLB, Agensi dan dif-dif jemputan untuk merapatkan tali persaudaraan dan silaturrahim.
Selain itu, katanya, ia bagi mewujudkan semangat Keluarga Malaysia di kalangan warga Kementerian dan Agensi sambil menikmati juadah istimewa yang telah disediakan daripada Negeri Agensi masing-masing.
“Semangat dan nilai kekeluargaan ini seharusnya diterapkan di semua lapisan masyarakat terutamanya di kalangan warga kerja KPLB dan Agensi,” katanya.
Mengulas mengenai INFRA, beliau berkata, pihak INFRA telah mengambil pelbagai inisiatif dalam melaksanakan bengkel, kursus, latihan bagi tujuan memperkemas serta memperkasa modul program latihan ke arah menjadi pusat kecemerlangan.
Jelasnya, antara tujuannya adalah termasuk bagi menghasilkan modul yang dimurnikan dan berkualiti bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di Pusat Bertauliah INFRA seterusnya melahirkan tenaga kerja mahir yang mencapai standard pembangunan modul seperti yang dikehendaki oleh industri.
“INFRA terus komited dalam usaha mempertingkatkan kapasiti serta kompetensi para jurulatih, penceramah serta tenaga pengajar INFRA.
“Bagi memperkasakan dan melahirkan penceramah atau tenaga pengajar yang kompeten, diiktiraf dalam latihan kemahiran, serta kebolehan mengaplikasikan kaedah dan teknik mengajar yang berkesan, saya berharap agar INFRA dapat menilai serta meneliti kembali silibus sedia ada dalam modul.
“Ia untuk pemurnian serta penambahbaikan agar relevan dengan keperluan serta bersesuaian dengan tahap penerimaan peserta kursus dan kumpulan sasar,” katanya.