12 MEI: Sri Lanka menamakan perdana menteri baharu hari ini selepas Mahinda Rajapaksa, meletak jawatan sebagai perdana menteri Isnin lalu.
Perdana menteri baharu, Ranil Wickremesinghe, telah pun berkhidmat di pejabat itu lima kali dan diangkat buat kali keenam bagi membawa kestabilan kepada negara berkenaan sama ada dari segi politik mahupun ekonomi.
Wickremesinghe, 73, mengangkat sumpah di hadapan President Gotabaya Rajapaksa dalam satu majlis di pejabat presiden pada Khamis., lapor Al-Jazeera.
Dalam ucapan di televisyen kepada negara pada malam semalam, Gotabaya tidak lagi tunduk kepada protes di seluruh negara selama berminggu-minggu yang menggesa beliau meletakkan jawatan berikutan kemelesetan terburuk negara sejak kemerdekaan.
Namun, dalam usaha untuk memenangi ahli Parlimen pembangkang yang menuntut beliau berhenti sebelum bersetuju dengan mana-mana kerajaan baharu, lelaki berusia 72 tahun itu berjanji untuk melepaskan sebahagian besar kuasa eksekutifnya dan menubuhkan kabinet baharu minggu ini.
“Saya akan menamakan seorang perdana menteri yang akan menguasai majoriti di Parlimen dan keyakinan rakyat,” kata Rajapaksa.
Abang presiden, Mahinda Rajapaksa, meletak jawatan sebagai perdana menteri Isnin lalu selepas penyokongnya menyerang penyokong antikerajaan yang telah melakukan bantahan secara aman selama berminggu-minggu.
Ini menandakan titik perubahan dan mencetuskan beberapa hari huru-hara dan keganasan yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan lebih 200, dengan berpuluh-puluh rumah penyokong setia Mahinda dibakar.