12 MEI : Kerajaan akan memberi bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang menjadi mangsa banjir di Janda Baik semalam bagi meringankan beban mereka akibat kerosakan peralatan rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama-sama setiausaha politik beliau ketika melawat mangsa nanti.
“Rasa simpati terhadap Keluarga Malaysia yang terlibat dalam tanah runtuh disebabkan kejadian kepala air di Janda Baik, Bentong, Pahang.
“Saya difahamkan kejadian berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi tadi di kawasan hulu (kawasan gunung Nuang) mengakibatkan fenomena kepala air,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Perdana Menteri kini berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri tugas rasmi iaitu Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington D.C.
Beberapa kampung dalam kawasan Janda Baik, dekat Bentong dilanda banjir kilat kira-kira pukul 5.30 pagi, hari ini, ekoran hujan lebat yang berterusan semalam.
Antara kampung terjejas teruk termasuk Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh.
Banjir lumpur yang merupakan kali kedua melanda kampung itu turut menjejaskan beberapa buah rumah selain turut mengakibatkan kerosakan kenderaan penduduk yang tidak sempat diselamatkan.
Ismail Sabri turut menasihati penduduk di sekitar kawasan itu sentiasa berhati-hati kerana walaupun keadaan air sungai sudah kembali surut namun ia masih agak deras dan keruh di samping menzahirkan ucapan terima kasih kepada agensi penyelamat yang menghulur tenaga membantu mangsa.