12 MEI : Korea Utara secara rasmi mengesahkan wabak COVID-19 pertama di negara itu hari ini, dengan media kerajaan melaporkan sub varian Omicron yang sangat mudah merebak dikenali BA.2 dikesan di Pyongyang.
“Terdapat insiden kecemasan terbesar di negara ini selepas lebih dua tahun mengekang penularan wabak berkenaan,” kata media kerajaan.
Laporan itu berkata, individu di Pyongyang dijangkiti virus Omicron, bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai angka kes atau kemungkinan sumber jangkitan.
Laporan itu diterbitkan ketika pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mempengerusikan mesyuarat Parti Pekerja untuk membincangkan tindak balas terhadap wabak pertama COVID-19.
Agensi berita rasmi KCNA berkata, Jong Un memberitahu dalam mesyuarat berkenaan matlamatnya adalah untuk menghapuskan ‘akar’ virus dalam tempoh paling singkat.
“Beliau memberi jaminan bahawa kerana kesedaran politik rakyat yang tinggi, kerajaan pasti akan mengatasi kecemasan dan memerangi penularan wabak itu,” katanya.
Jong UN turut meminta kawalan sempadan dan langkah penutupan yang ketat dengan memberitahu rakyat untuk menyekat sepenuhnya penyebaran virus termasuk di kawasan secara menyeluruh di semua bandar dan daerah di seluruh negara.
Korea Utara sebelum ini melaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiada kes COVID-19 dilaporkan di negara itu selepas kira-kira 36,000 rakyatnya disaring.
Agensi Yonhap yang memetik laporan mingguan WHO mengenai COVID-19 melaporkan, 693 rakyat Korea Utara menjalani ujian saringan sejak 30 Julai sehingga 5 Ogos tahun lalu, menjadikan keseluruhan 35,947 rakyat negara itu disaring tetapi tiada kes positif direkodkan.
Laporan itu mendedahkan, daripada ujian terkini yang dijalankan, seramai 112 orang dikesan mempunyai gejala tetapi kemudian disahkan sebagai seperti selsema biasa atau penyakit pernafasan akut.
Korea Utara mendakwa, negara itu bebas COVID-19 tetapi mengambil pendekatan dan tindakan tegas membendung penularan seperti kawalan ketat di sempadan sejak awal 2020. – REUTERS