13 MEI: Sekurang-kurang 11 maut dalam kejadian sebuah bot dinaiki terbalik di luar pantai Puerto Rico semalam.
Menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), setakat jam 6 petang Khamis, pihak penyelamat berjaya menyelamatkan 31 mangsa membabitkan 11 wanita dan 20 lelaki manakala 11 mayat turut ditemukan.
Jurucakap Perlindungan Sempadan dan Kastam AS (CBP) memberitahu AFP, jumlah penumpang yang dibawa bot itu masih belum diketahui.
Katanya, bot berkenaan terbalik di kedudukan 10 batu nautika utara Pulau Desecheo yang tidak berpenghuni dan kebanyakan mangsa terselamat adalah dari Haiti atau Republik Dominican
.Terdahulu, Pengawal Pantai AS dalam satu kenyataan berkata, bot berkenaan disyaki ‘terbabit dalam pelayaran haram.’
Sejurus sebelum tengah hari, katanya, sebuah helikopter pasukan itu mengesan sebuah bot dengan sejumlah orang dilihat berada dalam air tanpa memakai jaket keselamatan. – AFP