13 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menugaskan seramai 255 petugas kesihatan di Tanah Suci sempena musim haji tahun ini.
Petugas perubatan itu terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti perubatan, farmasi, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan penjagaan Spiritual bagi membantu Tabung Haji (TH) melancarkan perjalanan ibadah haji pada tahun ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata petugas perubatan KKM akan membantu mengendalikan kes berkaitan perubatan yang dihadapi oleh jemaah haji selain turut mengoperasikan fasiliti kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Susulan daripada risiko penularan COVID-19, KKM pada tahun ini turut membekalkan sekurang-kurangnya 3,000 ‘patient course ubat antiviral Paxlovid’ sebagai persediaan merawat jemaah haji yang dijangkiti semasa berada di Tanah Suci.
“Ubat antiviral terbabit akan diberikan kepada jemaah haji positif COVID-19 yang memenuhi kriteria yang sudah ditetapkan.
“Petugas perubatan KKM akan menilai kesesuaian pesakit sebelum boleh memulakan rawatan dengan ubat Paxlovid,” ,” katanya dalam kenyataan, hari ini..
Khairy memaklumkan, bagi membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia pada tahun ini, kerajaan meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta yang merangkumi perolehan ubat-ubatan dan alat perubatan serta tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan.
Dalam pada itu katanya, KKM mengesyorkan semua bakal jemaah haji terutama individu berusia 60 tahun dan ke atas dan individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk, untuk mengambil peluang mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Langkah ini bagi memberikan perlindungan optimum daripada jangkitan COVID-19 yang teruk dan kematian,” katanya.
Katanya, berdasarkan syor terkini Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) berkenaan pemberian dos penggalak kedua seperti diumumkan sebelum ini, individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.
“Sementara individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.