13 MEI: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menegaskan tindakan mengkompaun Serba Dinamik Holding Berhad (SDHB) dan empat eksekutif tertinggi merupakan keputusan sesuai dan wajar.
Katanya, pihaknya mengambil kira keterangan yang menyokong pertuduhan dan untuk mengelakkan satu perbicaraan yang lama serta berlarutan.
“Jabatan Peguam Negara berpandangan bahawa kepentingan awam adalah lebih terjamin dengan mengkompaun kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh SDHB dan empat orang eksekutifnya.
“Selepas itu, SDHB boleh mengalihkan sumber dan masa yang ada untuk menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa bagi mematuhi keperluan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, AGC juga mendapati bahawa prosiding jenayah terhadap SDHB tidak sesuai atau wajar diteruskan kerana kesan ekonomi yang akan berlaku.
“Impak pertuduhan terhadap SDHB adalah tidak seimbang dengan tahap kesalahan teruk yang dikatakan dilakukan oleh SDHB,” katanya.
Idrus berkata, SDHB sedang berhadapan dengan prosiding penggulungan oleh pemiutang yang akan menjejaskan mata pencarian pekerja-pekerja SDHB, kepentingan pemegang saham dan pemiutang lain.
“AGC mendapati bahawa keputusan mengkompaun kesalahan SDHB adalah merupakan satu bentuk hukuman yang memadai untuk kesalahan yang dikatakan telah berlaku setelah mengambil kira hal keadaan kes ini,” katanya.
Pada 7 April lalu, jabatan itu telah memberikan izin untuk mengkompaun kesalahan-kesalahan tersebut kepada SC mengikut Seksyen 373 Akta 671.
Semalam SDHB mengumumkan bahawa syarikat dan eksekutif tertingginya membuat penyelesaian penuh kompaun yang dikenakan oleh SC.
Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, pembayaran penuh berkenaan dibuat pada 9 Mei 2022, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16 juta.
SC pada 14 April lalu mengenakan kompaun maksimum terhadap Serba Dinamik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengarah Eksekutif dan dua pegawainya sebanyak RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.