13 MEI : Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, mendakwa tentera rejim Zionis bertanggungjawab atas kematian wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh, dalam insiden yang berlaku ketika tentera rejim itu melakukan serbuan di Tebing Barat.
Menurutnya, Abu Akleh dibunuh oleh tentera pendudukan Israel dan menegaskan pelakunya mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah kejam ini.
Beliau membuat kenyataan itu dalam sidang media bersama Presiden Iran, Ebrahim Raisi, di Tehran semalam.
Abu Akleh, warga Palestin-Amerika Syarikat (AS) berusia 51 tahun, ditembak mati ketika membuat liputan operasi tentera Israel di kem pelarian Jenin, kelmarin.
Saluran televisyen pan-Arab yang berpangkalan di Qatar itu mendakwa, tentera Israel membunuhnya ‘tanpa belas kasihan’.
Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, sebelum ini mendakwa Abu Akleh ‘berkemungkinan’ maut akibat tembakan sesat oleh rakyat Palestin.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz kemudian mengakui ‘kemungkinan rakyat Palestin yang menembaknya’ atau ‘tembakan adalah daripada pihak kami.’
Kejadian itu mencetuskan gesaan dari seluruh dunia agar siasatan bebas dilakukan.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Palestin menolak tawaran Israel untuk menjalankan siasatan bersama. Sebaliknya, Palestin akan melakukan siasatan sendiri dan kongsikan hasilnya.
Dalam pada itu, Raisi pula berkata, insiden berkenaan akan meningkatkan kemarahan terhadap Israel.
Sementara itu di Ramallah, ribuan rakyat Palestin hadir memberi penghormatan terakhir kepada Abu Akleh.
Satu memorial khusus untuknya diwujudkan di Ramallah, manakala jalan di bandar Tebing Barat akan dinamakan semula sebagai penghormatan kepada Abu Akleh.