13 MEI : Menambat ringgit bukanlah langkah yang terbaik demi kepentingan Malaysia di mana ia akan mendatangkan risiko yang besar kepada negara, demikian tegas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Katanya, tindakan tersebut akan memberi kesan buruk kepada sentimen pelabur dan menambat ringgit bukan satu langkah terbaik dalam persekitaran semasa yang mencabar.
“Ia bukan sahaja menjejaskan pelaburan langsung asing ke Malaysia tetapi juga membawa kepada aliran keluar modal dari negara,” ujarnya.
Nor Shamsiah berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman KDNK suku pertama 2022, bersama Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Jelasnya lagi, dasar tukaran asing yang fleksibel mampu menyerap kejutan ekonomi dan memelihara daya saing Malaysia dalam persekitaran global yang mencabar.