15 MEI : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memberi penghormatan terakhir kepada Presiden UAE dan juga Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, yang mangkat Jumaat lalu.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada kira-kira 4.20 petang.
Lawatan khas Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi itu turut diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin; Ketua Protokol Wisma Putra, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria hadir mengucapkan selamat berangkat kepada baginda.
Sebelum berangkat, Seri Paduka melalui kawalan kehormat setempat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota.
Istiadat penghormatan terakhir Almarhum dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Malaysia dan UAE juga mempunyai hubungan dua hala yang rapat dan mesra di pelbagai peringkat, termasuk kedua-dua pemimpin negara dan sesama rakyat.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini berkenan supaya bendera peribadi Seri Paduka dikibarkan secara separuh tiang di Istana Negara selama lima hari berturut-turut bermula semalam sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sheikh Khalifa. – BERNAMA