15 MEI : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini.
Menerusi perkongsian di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Berdua menzahirkan harapan agar sambutan itu dilimpahi keamanan, kebahagiaan dan kesejahteraan.
“Semoga perayaan ini membawa keamanan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua penganut agama Buddha,” titah baginda.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut sama mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak bagi yang beragam Buddha di negara ini.
Beliau mengingatkan agar Keluarga Malaysia menyambutnya dengan falsafah utama iaitu berbuat baik sesama insan.
Jelasnya, semua perayaan di negara ini diraikan dalam suasana kasih sayang, dan hormat menghormati dengan penuh harmoni.
“15 Mei 2022, Keluarga Malaysia yang beragama Buddha menyambut Hari Wesak.
“Hari Wesak disambut untuk memperingati falsafah utama iaitu berbuat baik sesama insan dan melakukan kerja-kerja amal, selain toleransi dan kasih sayang,” jelasnya.
Hari Wesak disambut penganut Buddha sebagai menandakan tiga peristiwa penting dalam kehidupan Gauthama Buddha, iaitu kelahirannya, penyedaran dan hari dia meninggal dunia.