16 MEI: Setiap bilik guru di semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di Johor akan diperuntukkan sebanyak RM5,000 bagi tujuan tambaik baik sekali gus memberikan lebih keselesaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata peruntukan yang diberikan adalah tanda kasih dan penghargaan kerajaan negeri kepada 53,130 guru di negeri ini sempena sambutan Hari Guru tahun ini.
Katanya, peruntukan itu membabitkan jumlah RM8.88 juta untuk 1,775 sekolah di seluruh Johor tidak kira sekolah rendah, menengah, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.
“Bagi menghargai pengorbanan guru di semua sekolah di negeri Johor, sukacita saya umumkan satu bantuan khas untuk bilik guru di seluruh negeri ini.
“Setiap bilik guru akan mendapat bantuan khas RM5,000 untuk mereka fikirkan bagaimana untuk mengimarahkan atau bagi tujuan keselesaan mereka di bilik guru masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Guru di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) di Johor Bahru, hari ini.
Onn Hafiz berkata, beliau berharap peruntukan yang diberikan itu dapat digunakan sebaik mungkin oleh pengurusan sekolah bagi tujuan yang dimaksudkan.
Pada masa sama, Onn Hafiz turut mengumumkan kerajaan negeri meluluskan permohonan peruntukan RM200,000 kepada pihak MSAB bagi membolehkan dewan sekolah berkenaan ditambah baik.