16 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang dihadiri kira-kira 10,000 jemputan malam tadi.
Ketibaan Perdana Menteri ke majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu diiringi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, selain bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar.
Turut hadir, Yang Dipertua PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Selain barisan Menteri Kabinet, turut hadir pada majlis itu ialah golongan usahawan, warga politik termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin masyarakat dan penduduk sekitar.
Noh selaku ketua rumah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana hadir dalam majlis tersebut.
“Sambutan yang diterima kali ini cukup luar biasa berikutan situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara sebelum ini.
“Namun jangan lupa walaupun keadaan sudah semakin pulih, COVID-19 masih ada di sekeliling kita. Saya harap semua sentiasa berjaga-jaga,” ujarnya.