17 MEI : Perbezaan parti tidak menghalang kerjasama untuk membantu rakyat di mana dua ADUN yang merupakan sahabat baik saling bantu-membantu termasuk dalam menghadiri program-program sesama mereka walaupun ia melibatkan anjuran parti masing-masing.
ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zolkifly Md. Lazim yang mewakili Dewan Undangan Negeri kawasan Telok Bahang, manakala seorang lagi adalah Mohd. Tuah Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili DUN Pulau Betong, Balik Pulau.
Jika ada jemputan antara satu sama lain termasuk program anjaran parti, jika ada kelapangan, mereka masing-masing akan berkunjung sesama sendiri.
Terbaharu, apabila Zolkifly menghadiri jamuan sambutan Hari Raya Aidilfitri anjaran Mohd. Tuan di Titi Teras dekat sini.
Zolkifly yang ditemui memberitahu, prinsip Perikatan Nasional (PN) yang meliputi Bersatu, Pas dan beberapa parti lagi dalam gabungan PN ialah bekerjasama dengan semua parti dan semua pihak.
Menurutnya, prinsip itu sebagai bukti bahawa Bersatu dan PN mengutamakan rakyat dan tidak bermusuhan dengan mana-mana pihak pun.
Menurut Zolkifly, beliau mahupun Mohd. Tuah tidak ada masalah untuk menghadiri program walaupun ia melibatkan anjuran parti masing-masing.
“Dalam PN, kami boleh sahaja berkunjung dan menghadiri majlis anjuran parti lain. Prinsip PN bekerjasama demi kepentingan rakyat.
“Tiada untungnya jika berbalah, atau bermusuhan atau boikot jika ia melibatkan program parti. Mana yang boleh bekerjasama, PN sedia menghulurkan tangan. Ini konsep PN,” katanya.
Menurut Zolkifly, yang penting beliau dan Mohd. Tuah sentiasa dapat berbincang untuk selesaikan isu dan masalah penduduk di kawasan masing-masing.
“Kami tidak mengambil sikap jika program itu anjuran parti, maka tidak perlu hadir.
“Kehadiran saya dan Mohd. Tuah adalah untuk rakyat. Itu tanggungjawab kami sebagai wakil rakyat. Tambahan pula DUN yang kami wakil adalah berjiran serta bersebelahan,” katanya.
Zolkifly menegaskan, malah agama Islam tidak menyuruh umatnya mahupun pemimpin bermusuhan antara satu sama lain.
Jelasnya, hubungan rapat dan kerjasama antara satu sama lain walaupun dari parti yang berbeza, dapat menyelesaikan pelbagai isu dan masalah rakyat.
“Apabila saya dan Mohd. Tuah bertemu, kami banyak berbincang isu rakyat serta penyelesaiannya.
“Kerjasama dan persefahaman ini telah terjalin sejak rakyat memilih kami sebagai wakil rakyat,” katanya.
Zolkifly mengakui, atas sikap sedemikian banyak isu rakyat di DUN masing-masing berjaya diselesaikan.
“Apa jua orang lain nak kata, kami berdua tidak kisah. Sebaliknya bagi saya dan Mohd. Tuah, kita perlu bekerjasama dan mengeratkan silaturahin serta persahabatan demi rakyat dan penduduk,” katanya.