17 MEI: Presiden Russia, Vladimir Putin menegaskan bahawa penyertaan Sweden dan Finland ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak akan menjadi ancaman kepada Russia.
Putin turut memberi amaran akan bertindak balas dengan tindakan sekutu Barat mengalihkan tentera atau senjata ke kawasan kejiranan Nordic.
Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson semalam, mengesahkan negaranya akan memohon untuk menyertai NATO, sehari selepas Finland, yang berkongsi 1,300 kilometer sempadan dengan Russia, menyatakan perkara sama.
Putin berkata, tindakan kedua negara itu tidak memberi sebarang ancaman secara langsung kepada Russia, namun mengembangkan infrastruktur ketenteraan ke wilayah itu pasti akan mencetuskan tindak balas oleh negara berkenaan.
Reaksi bersahaja pemimpin Russia itu berbeza dengan kenyataan oleh Timbalan Menteri Luar, Sergei Ryabkov, yang menggelarkan pengembangan itu “kesilapan terbesar yang akan memberi akibat yang meluas”.
Langkah itu bagaimanapun belum dimuktamadkan, selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, mengesahkan hasrat negaranya untuk menghalang permohonan itu, dengan menuduh Finland dan Sweden melindungi kumpulan pengganas, termasuk militan Kurdish yang diharamkan.
Sumber Kementerian Kehakiman Turki memberitahu agensi berita rasmi, Anadolu, bahawa Sweden dan Finland gagal memberi respon positif kepada 33 permohonan ekstradisi Turki sepanjang lima tahun.
Sebarang bidaan keahlian harus diluluskan sebulat suara oleh semua 30 negara anggota NATO.
Bagaimanapun, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, menyuarakan keyakinannya bahawa Sweden dan Finland akan menyertai NATO walaupun ditentang oleh Turki.
Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu akan bertemu Blinken di Washington esok, di mana bantahan Ankara menjadi agenda teratas pada pertemuan itu. – AFP