19 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 2,017 kes baharu COVID-19 semalam menjadikan angka jangkitan meningkat kepada 4,483,295 kes.
Menerusi data di laman sesawang COVIDNOW, jumlah kes harian itu merupakan empat kes import.
Turut dilaporkan tujuh kematian baharu termasuk tiga kematian di luar fasiliti hospital (BID).
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini seramai 35,630 orang daripada lebih 4.4 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Sebanyak 29,971 kes aktif COVID-19 juga direkodkan di negara ini.
Daripada jumlah itu, seramai 28,679 atau 95.7 peratus individu dikuarantin di rumah, manakala 19 individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 1,235 dimasukkan ke hospital.
Data itu juga menunjukkan sejumlah 38 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, sejumlah 2,548 kes sembuh turut direkodkan semalam dengan kes kumulatif sembuh 4,417,694 kes.