19 MEI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kejadian melibatkan kehilangan nyawa lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada 11 Mei lalu yang disifatkan sangat tragik dan mengerikan.
Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, walaupun pada hakikatnya ajal maut telah ditentukan, baginda berpendirian bahawa ALLAH juga menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka.
“Baginda berpandangan banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan.
“Baginda menitahkan semua pihak yang berkaitan, wajib menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran, mengenal pasti dan menerima kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan.
“Terutamanya sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan yang tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, baginda berkenan menerima laporan daripada ketua-ketua jabatan berhubung insiden kemalangan tragis yang mengorbankan lima pelajar berkenaan.
Laporan itu dipersembahkan Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi bersama Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Ketua Jabatan dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Taiping, Dr N Murali di Bangunan Pentadbiran USAS di Kuala Kangsar hari ini.
Sesi sembah taklimat berkenaan berlangsung kira-kira satu jam sebelum baginda berangkat meninggalkan dewan.
Ahmad Suaidi berkata, Sultan Nazrin yang juga merupakan Canselor USAS berkenan mengurniakan sumbangan RM50,000 kepada USAS untuk disampaikan kepada lima keluarga terlibat bagi pihak baginda.
Katanya, baginda turut menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang telah kehilangan anak dan ahli keluarga yang begitu dikasihi dalam usia yang begitu muda dan menghadapi ajal dengan cara yang sangat memilukan hati.
Dalam kemalangan sekitar jam 12.52 tengah malam di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara itu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.
Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.