19 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik lapan individu menganggotai Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah baik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di institusi pendidikan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata jawatankuasa khas itu dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.
“Penubuhan jawatankuasa khas ini adalah antara pendekatan KPM untuk mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes berkenaan gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM.
“Kami yakin serta percaya, dengan pengalaman dan kepakaran ahli-ahli ini, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu KPM meneliti secara mendalam dan seterusnya mengesyorkan pelan tindakan bersesuaian yang boleh diambil bagi menangani kes gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Radzi, beliau telah menyerahkan watikah pelantikan kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa khas semalam.
Jawatankuasa khas itu dianggotai bekas pegawai kanan kerajaan, pensyarah, kaunselor, pegawai undang-undang serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Selain Habibah, jawatankuasa itu dianggotai Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang; Pakar Psikologi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor dan bekas profesor madya di Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga pengamal undang-undang, Datuk Dr P Sundramoorthy.
Empat yang lain adalah Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan; Datuk Sutinah Sultan; Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Datuk Sulaiman Wak.