19 MEI : Kira-kira 13 kes disyaki cacar monyet, virus yang jarang ditemui namun berpotensi beri kesan serius sedang disiasat pihak berkuasa kesihatan di wilayah Quebec, Kanada ekoran peningkatan kes di kawasan itu.
Amerika Syarikat (AS) semalam juga turut mengesahkan kes virus itu pada seorang lelaki yang baru pulang mengunjungi Kanada, selepas pegawai kesihatan eropah mengesahkan puluhan kes sama awal minggu ini.
Penyakit itu kebiasaannya bermula dengan gejala seperti selesema, demam, sakit otot dan bengkak limfa, sebelum menyebabkan ruam seperti cacar air pada muka dan badan, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
CBC melaporkan, pihak berkuasa kesihatan awam di bandar Quebec, Montreal sedang menyiasat kes itu, sambil menambah ia dikesan selepas diagnosis dibuat di beberapa klinik pakar.
Laporan itu menyebut, pengesahan dijangka diketahui dalam beberapa hari akan datang.
Di negara jiran AS, pihak berkuasa kesihatan Massachusetts dan CDC semalam mengesahkan kes pertama di negara itu tahun ini.
“Kes itu tidak menimbulkan risiko kepada orang ramai, dan individu itu dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan baik,” kata Jabatan Kesihatan Massachusetts dalam satu kenyataan.
Penyakit itu boleh merebak melalui sentuhan dengan cecair badan atau kudis orang yang dijangkiti atau barangan yang dikongsi seperti pakaian dan peralatan tempat tidur yang sudah tercemar,” kata CDC, sambil menambah pembasmi kuman juga boleh membunuh virus itu.
Banyak kes dilaporkan, termasuk kelompok yang dikesan sejak dua minggu lalu di Portugal, Sepanyol dan Britain, di mana cacar monyet jarang berlaku, menular dalam rangkaian seksual,” kata pakar virus cacar CDC, Inger Damon, dalam satu kenyataan.
Beberapa kes di Eropah sudah dikesan pada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, biarpun CDC menggariskan sesiapa sahaja, tanpa mengira orientasi seksual, boleh menyebarkan cacar monyet.
Sejak 6 Mei lalu, sembilan kes cacar monyet sudah dikesan di United Kingdom (UK), kata Agensi Keselamatan Kesihatan UK semalam.
Semalam, Sepanyol dan Portugal mengumumkan mereka sudah mengenal pasti lebih daripada 40 kes yang disyaki atau disahkan cacar monyet.