19 MEI : Seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun maut digilis, manakala ibunya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa yang juga murid Tahun Empat maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari sekolahnya yang turut mengadakan sambutan Aidilfitri hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad dalam satu kenyataan berkata, motosikal dinaiki dua beranak itu dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya.
“Ketika itu, penunggang motosikal iaitu ibu kepada kanak-kanak perempuan itu sempat menyelamatkan diri namun anaknya digilis sebuah lori treler yang datang dari arah yang sama.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Shafee berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat manakala ibunya turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.
Siasatan lanjut menurutnya masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.