20 MEI: Sri Lanka akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan lagi untuk mula membayar balik hutang yang berjumlah AS$51 bilion (RM224.65 bilion), kata bank pusat hari ini.
Gabenor Bank Pusat Sri Lanka, Nandalal Weerasinghe, berkata negara itu perlu menstruktur semula hutang luar negaranya dan berharap dapat mencapai persetujuan dengan pemiutang dalam masa kira-kira enam bulan.
“Pendirian kami sangat jelas. Sehingga mereka datang untuk menyusun semula (perjanjian), kami tidak akan dapat membayar,” katanya.
Beliau berkata, keganasan perusuh yang meragut sembilan nyawa minggu lalu dan kegagalan kerajaan untuk memuktamadkan menteri kewangan di bawah kabinet baharu boleh menangguhkan rundingan dengan pemiutang dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Gabenor berkata, rundingan penyelamat dengan IMF sedang dijalankan, tetapi perjanjian akhir memerlukan kelulusan menteri kewangan yang masih belum dilantik oleh negara itu.
Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa, meletak jawatan minggu lalu berikutan tekanan terhadap kesusahan ekonomi teruk yang dihadapi oleh 22 juta penduduk.
Penggantinya, Ranil Wickremesinghe, cuba membentuk ‘Kabinet perpaduan’, tetapi melantik hanya empat menteri, semuanya daripada parti SLPP Presiden Rajapaksa, dan tiada seorang pun daripada pembangkang.
Wickremesinghe meminta kakitangan kerajaan negeri untuk tinggal di rumah esok dan mengambil cuti hujung minggu yang panjang kerana negara menghadapi kekurangan petrol yang teruk.
Kerajaan juga menutup sekolah awam mulai esok kerana krisis bahan api yang telah menyebabkan barisan panjang berbatu-batu untuk stok bahan api yang terhad di beberapa stesen minyak.
Hanya beberapa teksi yang beroperasi, manakala kebanyakannya beratur di beberapa stesen minyak yang masih mengeluarkan petrol dengan catuan.
Dalam usaha untuk meningkatkan kecairan dolar dalam bank perdagangan, bank pusat itu hari ini melaksanakan peraturan menghalang pegangan wang dolar oleh rakyat Sri Lanka selama lebih daripada dua minggu.
Kekurangan mata wang asing Sri Lanka telah menjadi nadi kepada krisis semasa, memaksa kerajaan menghentikan banyak import barangan keperluan.
Ini telah membawa kepada inflasi yang melambung tinggi, kekurangan teruk dan gangguan bekalan elektrik dalam krisis ekonomi terburuk Sri Lanka sejak kemerdekaan pada 1948. – AFP