20 MEI: Kerajaan kekal komited dan akan terus berusaha untuk menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan turut melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pedalaman Sabah.
“Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan juga menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025.
“Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sedang menyelaras dan memudah cara Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak.
Menurutnya, di bawah fasa pertama BMTKM, sebanyak 10 lokaliti di Sabah telah dikenal pasti iaitu di Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.
“Sebelum ini, program membasmi kemiskinan dilaksanakan secara ‘silo’ di hampir semua agensi yang terbabit.
“Namun di bawah program BMTKM, EPU dan ICU akan menjadi penyelaras menggabungkan semua pihak yang terlibat seperti Kementerian, Kerajaan Negeri, ahli akademik, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk mencari kaedah terbaik bagi menghapuskan miskin tegar secara holistik berasaskan lokaliti,” katanya.
Menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berkata sebuah Jawatankuasa Peringkat
Persekutuan telah dibentuk yang dipengerusikan beliau sendiri dan turut disertai oleh Hajiji bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63.
Menerusi jawatankuasa itu, Perdana Menteri berharap sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.
Ismail Sabri turut mengumumkan berita gembira bagi penduduk sekitar Pagalungan, Nabawan yang memerlukan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas.
Jelasnya, mereka tidak perlu lagi pergi sejauh lebih 100 kilometer ke Keningau untuk mendapatkan pas berkenaan yang kini didapati di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan.
“Bagi memastikan “no wrong door policy”, urusan pembaharuan Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas
Lawatan Kerja Sementara (PLKS), kini boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen di negeri ini,” katanya.