20 MEI: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan pasukan Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT AADK) bagi memberikan khidmat merawat dan memulihkan penagih dadah terutama di luar bandar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata MRT AADK memberi perkhidmatan kepada kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK.
“Perkhidmatan ini disediakan di luar premis AADK dan akan dilaksanakan oleh Pasukan MRT AADK di 14 buah pejabat AADK Negeri di seluruh negara.
“Setakat ini, dua pasukan MRT AADK yang terdiri daripada pegawai yang berkemahiran dalam rawatan dan pemulihan penagihan dadah sudah dibentuk di setiap negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran MRT AADK di Kajang, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yassin, dan Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata projek rintis MRT AADK ini sudah dilaksanakan kepada banduan yang terbabit dengan penagihan dadah pada 2021 dan mendapat respons yang baik.
“Kerjasama antara AADK dan Jabatan Penjara ini adalah satu pendekatan penyelesaian masalah bagi mengatasi masalah banduan dadah yang ‘relapse’ (berulang).
“Ini juga bagi meningkatkan kadar kepatuhan mereka untuk menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dalam Komuniti AADK selepas mereka dibebaskan kelak,” katanya.
Tambah beliau, pada masa ini terdapat lapan kakitangan AADK yang mempunyai kepakaran dalam program MRT AADK, manakala 110 orang lagi kakitangan AADK sudah dikenal pasti untuk menjalankan program itu di seluruh negara.
Selain itu, katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah membuat persiapan menggunakan perkhidmatan MRT AADK untuk merawat klien jabatan itu tanpa perlu meninggalkan premis masing-masing.