20 MEI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, usaha tersebut bagi memantau keadaan dan tahap kebersihan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).
“Pengusaha Taska dan Tabika perlu sentiasa menitik berat aspek kebersihan dan tidak menerima kanak-kanak yang dikesan memiliki simptom penyakit berkenaan.
“selain pengusaha Taska dan Tabika, ibu juga perlu memainkan peranan menjaga tahap kebersihan anak ketika berada di rumah,” katanya kepada pemberita pada Program Wanita Bangkit@KWPKM, di Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau berkata, langkah pencegahan bukan sahaja terletak di bahu pengusaha Taska atau Tabika, sebaliknya ibu bapa juga perlu berperanan dalam usaha mencegah penularan penyakit berkenaan.
“HFMD adalah penyakit berjangkit. Sekiranya ibu bapa mendapati anak mempunyai simptom penyakit berkenaan seperti gatal, bintik-bintik merah, ruam elakkan menghantar anak ke pusat penjagaan dan segera mendapatkan rawatan doktor,” katanya.