20 MEI : Rapid Rail Sdn Bhd hari ini menjelaskan bahawa fasiliti seperti eskalator dan lif di stesen pengangkutan awam kendaliannya yang masih belum berfungsi berpunca oleh beberapa faktor antaranya kelewatan pembekalan alat ganti.
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan penutupan sementara kilang di Shanghai, China kerana perintah berkurung di negara itu.
Menurut Rapid Rail, operasi fasiliti di stesen tren kendaliannya berada pada tahap 96.5 peratus bagi lif dan 90 peratus bagi eskalator dengan proses penyelenggaraan dan baik pulih akan disiapkan secara berperingkat.
Ia melibatkan tempoh penyelenggaraan yang dijangka siap sepenuhnya pada 30 Sept ini bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang/Sri Petaling, LRT Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang manakala bagi perkhidmatan monorel pula pada 31 Julai ini.
“Jangkaan tarikh siap ini bergantung pada keadaan semasa di Shanghai.
Tempoh tiga bulan diperlukan bagi proses penghantaran alat ganti dari kilang pembekal original equipment manufacturer (OEM) di China.
“Rapid Rail sedang memantau rapat pembekal dan kontraktor bagi mempercepatkan perolehan dan pemasangan alat ganti,” menurut kenyataan itu.
Berhubung video tular di media sosial mengenai kesulitan dihadapi pengguna LRT akibat lif dan eskalator yang tidak berfungsi di Stesen LRT Ampang Park, Rapid Rail memohon maaf dan kesal atas isu berkenaan sehingga menyebabkan kesukaran pengguna perkhidmatan rel kendaliannya.
Syarikat itu menjelaskan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan pembaharuan permit mesin angkut dan kelulusan bagi pengoperasian fasiliti itu yang dijangka dibuka semula kepada penumpang selewatnya Rabu depan (25 Mei).
“Justeru, bagi membantu penumpang yang memerlukan bantuan khusus, pihak operasi akan sentiasa memastikan kakitangan di stesen agar lebih peka tentang keadaaan di pintu masuk dan segera memberikan bantuan,” menurut kenyataan itu.
Penumpang juga boleh ke kaunter khidmat pelanggan atau berinteraksi dengan pihak polis bantuan yang menyelia landasan di stesen berkenaan bagi mendapatkan sebarang bantuan. – BERNAMA