20 MEI : UMNO setakat ini masih belum membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu di dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.
Menurut Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setakat ini tiada sebarang mesyuarat berhubung perkara itu dilakukan.
Katanya, belum ada sebarang pertemuan lagi jadi saya pun tidak boleh memberikan jawapan, kita pun tak tahu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Empat Peringkat Negeri Terengganu di sebuah resort hari ini.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini berkata, kedudukan dan status kerjasama UMNO-Pas dalam MN akan dimuktamadkan selepas meneliti semua pandangan pimpinan parti di pelbagai peringkat.
Sementara itu ketika mengulas berhubung pelantikan Dr Kamarul Zaman Yusoff sebagai pegawai khasnya Ismail Sabri yakin beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang ada.
“Dia seorang yang berpengalaman dari segi kepakaran dalam bidang yang kita bagi dia sebagai pegawai khas media bahagian dasar dan saya percaya dia boleh melaksanakan.
“Timbul isu daripada parti lain jadi saya memilih orang yang saya fikirkan layak kalau parti lain memikirkan tidak layak tidak bermakna saya akan mengikut apa yang disebut parti lain jadi kita telah buat penilaian. Itu saya ambil dia,” katanya.
Terdahulu beberapa portal mencetuskan isu mengenai pelantikan Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu sebagai pegawai khas Perdana Menteri, walaupun beliau telah memegang jawatan itu sejak Disember tahun lepas.